Wednesday, November 21, 2007

Promo Article No. 2

”Ekspresi-Kan Hak-Hak Asasi Anda”


Contributed by Dara Waheda Mohd Rufin

Setiap manusia berhak memiliki naluri hati mereka sendiri sebaik sahaja dilahirkan. Mereka berhak percaya bahawa mereka perlu mengatur dan menikmati kehidupan dengan cara mereka sendiri. Mereka mempunyai hak bergaul antara satu sama lain, berhak mendapat pendidikan yang baik, berhak memiliki harta atas usaha mereka sendiri, berhak meluahkan ekspresi diri dan berhak dilayan sama rata dengan penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Ramai yang dapat mengapplikasi hak-hak asasi ini dalam kehidupan mereka namun ramai juga yang dihalang daripada menikmatinya.

Sebagai memperingati dan menunjukkan sokongan terhadap mereka yang kurang bernasib baik ini, dunia telah mengisytiharkan 10 Disember sebagai Hari Hak Asasi Manusia.

Pada tahun ini, Majlis Peguam Malaysia melalui Jawatankuasa Hak Asasi Manusia telah menyambung tradisi perayaan hak asasi dengan sekali lagi menganjurkan Festival Hak Asasi kali ini diraikan satu hari lebih awal iaitu pada 9 Disember 2007. Tarikh berkenaan yang juga hari minggu (Ahad) telah dipilih bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur untuk bersama-sama menyambut hari tersebut.

Festival yang bertemakan ”Seperti yang saya percaya : Kebebasan Ekspresi melalui Seni, Muzik, Budaya dan Rasa Hati” ini akan dimulakan seawal 7.30 pagi dengan acara perarakan secara aman dari perkarangan Pusat Membeli-Belah Sogo ke Pasar Budaya, Kuala Lumpur. Tradisi perarakan ini adalah sebagai satu simbol penyatuan rakyat dan simbol kebebasan bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Perarakan tersebut dijangka berakhir pada pukul 9.00 pagi di perkarangan Pasar Budaya, Kuala Lumpur, lokasi bagi bahagian kedua festival tersebut.

Kemuncak bahagian kedua festival ini adalah sesi yang dinamakan “When Faith Meets Law Session”. Ia merupakan sesi interaktif yang memberi peluang kepada setiap kumpulan/badan agama melalui seorang wakil menyuarakan isu dalam mengimbangi kepercayaan dan undang-undang manusia.

Selain itu, ia juga akan diselang-seli dengan persembahan menarik yang terdiri daripada persembahan puisi, tarian masyarakat Orang Asli, nyanyian oleh Dr Wan Zawawi dan beberapa orang peguam yang berbakat terpendam termasuklah Fahri Azzat, Syamsuriatina Ishak, Dipendra Harshad Rai dan Lai Chee Hoe serta banyak lagi kejutan yang telah dirancang.

Ekspresi-kan hasrat anda bersama-sama kami. Jumpa anda di sana.

(Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini dari masa ke semasa sila klik http://www.malaysianbar.org.my/component/option,com_docman/task,doc_details/Itemid,2/gid,1370/ )

No comments: